Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pengembara dari 11 negara wajib kuarantin sebelum masuk ke Sabah, bermula esok – Masidi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan semua pengembara dari 11 buah negara yang disenaraikan wajib untuk menjalani kuarantin sebelum memasuki Sabah. Kuarantin wajib ini akan mula berkuat kuasa pada hari esok, (28 Disember 2021).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, antara negara berkenaan ialah United Kingdom, Arab Saudi, Australia, Norway, France, Kanada, Denmark, Nigeria, United States, India dan Pakistan.

“Kesemua pengembara dari negara berkenaan yang menuju ke Sabah hendaklah menjalani kuarantin wajib melalui Pintu Masuk Antarabangsa Pertama di pusat kuarantin ditetapkan oleh kerajaan sebelum dibenarkan untuk memasuki atau meneruskan penerbangan ke negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. 

Dalam pada itu, Masidi menjelaskan Sabah tidak merekodkan sebarang kluster baharu COVID-19 pada 26 Disember 2021.

Bagaimanapun katanya, terdapat 108 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan pada 26 Disember 2021 dan merekodkan satu kematian disebabkan wabak berkenaan di Kota Belud.

“Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 222 orang menjadikan jumlah kumulatif 232,293 orang. 

“Manakala, 678 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 356 orang di hospital, 316 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan enam orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara,” katanya.

Menurutnya, bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 31 orang merangkumi 30 di Unit Rawatan Rapi serta satu di open ward.

Katanya, tujuh orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala bilangan pesakit tahap ke empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 16 orang.

Sumber: UB

Exit mobile version