Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah hadapi trend peningkatan jangkitan Covid-19

KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Hal ini kerana Sabah kini sekali lagi sedang melalui trend peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Semalam sahaja, dilaporkan bahawa kes di negeri ini dicatatkan naik mendadak kepada 650 kes berbanding hari sebelumnya, iaitu 589 kes. Ini menunjukkan peningkatan yang agak besar dengan 61 kes baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, trend peningkatan itu dapat dinilai melalui graf kes harian bagi tempoh 14 hari yang lalu.

“Ini bukan sesuatu yang mengejutkan dengan mengambil kira kelonggaran yang diberikan dalam pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial.

“Tahap pematuhan SOP juga menurun dalam kalangan penduduk, patuhi SOP walaupun sudah lengkap vaksin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, vaksin tidak menjadikan penerima kebal daripada jangkitan COVID-19. Kes baharu harian menunjukkan bahawa secara purata 60 peratus daripada semua jangkitan adalah daripada mereka yang sudah menerima vaksin lengkap.

Dalam pada itu katanya, sebanyak lima kes kematian baharu COVID-19 direkodkan pada 30 Oktober 2021.

“Satu kes masing-masing berlaku di Kinabatangan, Sandakan, Semporna, Tambunan dan Tenom. 

“Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Sumber: UB

Exit mobile version