Site icon TUHAU BAMBANGAN

Paras Sungai Padas bahaya, Beaufort kini digenangi banjir

BEAUFORT: Hujan lebat yang berterusan sejak petang semalam telah menyebabkan beberapa kawasan di sekitar daerah ini dilanda banjir.

Sebahagian besar kawasan rendah yang berisiko terutama perkampungan berhampiran sungai termasuk Membakut sudah pun digenangi banjir. Bagaimanapun, setakat ini belum ada penduduk yang diarahkan untuk berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Jabatan Pengairan dan Saliran Beaufort dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa paras Sungai Padas kini berada pada paras bahaya dengan bacaan terkini mencecah 9 meter. Manakala Sungai Membakut mencecah lebih 6 meter, iaitu pada tahap paras amaran.

Penduduk daerah ini turut dimaklumkan bahawa JPS Beaufort akan melaksanakan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) sepenuhnya disebabkan berlaku keadaan banjir yang besar.

Maka dengan itu, gangguan bekalan air terawat akan terganggu di daerah ini.

Kerja-kerja penyelenggaraan di semua sauk LRA turut terganggu disebabkan sampah yang hanyut oleh banjir.

Kenyataan tersebut turut mengharapkan agar pengguna air dapat berjimat cermat serta memohon maaf dengan segala kesulitan yang dihadapi.

Sumber: UB

Exit mobile version