Site icon TUHAU BAMBANGAN

Majlis perkahwinan di Nabawan cetus kluster baharu

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Majlis perkahwinan telah mencetuskan Kluster Lima di Nabawan, berikutan kes indeks mengalami gejala demam, batuk dan sakit sendi.

Kes merupakan kes komuniti yang melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun, disahkan positif Covid-19 pada 20 Ogos 2021.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kes indeks didapati mula menunjukkan gejala pada 18 Ogos lalu dan siasatan juga mendapati kes ini kemungkinan mendapat jangkitan dari komuniti.

“Pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 134 individu terdiri daripada ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual mendapati 61 lagi kes positif termasuk empat kes baharu pada 28 Ogos,” terang Masidi dalam satu kenyataan beliau semalam.

Beliau turut berkata, 21 individu masih menunggu keputusan saringan pertama, sementara 53 individu negatif dalam sampel pertama.

Semua kes positif Covid-19 dalam kluster itu telah pun dirujuk ke hospital bagi rawatan lanjut dan menjalani pengasingan.

Selain itu, pada 28 Ogos lalu terdapat satu lagi kluster baru dilaporkan, iaitu Kluster Pin Supu, Kinabatangan.

Kes indeks merupakan wanita pekerja ladang berusia 40 tahun, warganegara Indonesia disahkan positif Covid-19 (RTK-Ag) di Hospital Kinabatangan pada 22 ogos lalu.

Kes indeks mula menunjukkan simptom sejak 14 Ogos lalu dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya.

Aktiviti persampelan kontak terhadap 129 individu mendapati seramai 34 kes positif termasuk 32 kes baharu pada semalam dalam kalangan kontak sosial, pekerja dan tanggungan.

Aktiviti siasatan persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan.

Sumber: UB, JPBCNS

Exit mobile version