Site icon TUHAU BAMBANGAN

‘Adik Aming seorang anak yang baik & bijaksana’ – PM

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Muhammad Aming Salleh Abdullah, 8, atau lebih dikenali dalam kalangan warganet sebagai Adik Aming.

Kanak-kanak yang terkenal dengan celoteh lucu menerusi video-video yang dikongsikan di media sosial itu dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 1.30 pagi tadi dipercayai akibat sesak nafas.

Ismail Sabri menerusi posting beliau di laman Facebook miliknya turut bersedih dan menzahirkan ucapan takziahnya kepada keluarga yang ditinggalkan.

Beliau turut berkongsikan gambar Allahyarham berserta doa dan ucapan buat keluarganya agar tabah menghadapi ujian pemergian anak kesayangan.

“Saya pernah membuat hantaran di media sosial berkenaan pesanan baik-baik yang disampaikan oleh Allahyarham Adik Aming pada 23 Januari 2021.

“Ternyata Allahyarham Adik Aming adalah seorang anak yang sangat baik dan bijaksana,” katanya dalam posting Facebook hari ini.

Pada masa yang sama, berita pemergian Adik Aming juga mengejutkan orang ramai dan mendapat perkongsian meluas di media sosial.

Ramai warganet turut sama berkongsi kesedihan dengan pemergian seorang kanak-kanak yang baik, bijak dan berbakat besar seperti Allahyarham.

Adik Aming mula terkenal selepas videonya yang sering berkongsi pesanan dan nasihat buat ibunya dan juga pengguna media sosial sering dikongsikan ramai terutama di Facebook.

Akaun Facebook Allahyarham yang mempunyai lebih 113,000 pengikut turut pernah berkongsi video Adik Aming menyampaikan pesanan agar orang ramai menjaga prosedur operasi standard (SOP)  berikutan COVID-19 yang dimuat naik pada 27 Oktober 2020.

Jenazah Allahyarham Aming selamat dikebumikan kira-kira jam 11 pagi tadi di tanah perkuburan Kampung Titingan Tawau. – UB, FB

Exit mobile version