Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lebih Separuh Punca Jangkitan Dari Kontak Rapat

Lebih separuh jumlah positif COVID-19 yang dikesan menerusi saringan kontak rapat, menjadi penyumbang kes melepasi angka 3,000 di Sabah.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu meningkat mendadak hari ini, iaitu sebanyak 3,376 kes.

Beliau berkata, terdapat peningkatan sebanyak 902 kes, berbanding 2,474 kes yang dicatatkan semalam.

“Sebanyak 2,094 kes (62 peratus) berpunca daripada saringan kontak rapat, di samping 784 kes (23.2 peratus) daripada saringan bergejala dan 164 kes (4.9 peratus) daripada saringan kluster.

“Selain itu, 430 kes (12.7 peratus) kes daftar lewat melebihi lima hari. Sebanyak 414 kes (12.3 peratus) keputusan saringan yang didaftar lewat antara empat hingga lima hari. Ada 1,286 kes (38.1 peratus) kes positif yang lewat didaftar antara dua hingga tiga hari,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Masidi berkata, Kota Kinabalu kekal mencatatkan sebagai daerah penyumbang jumlah kes positif COVID-19 tertinggi di Sabah.

Katanya, Kota Kinabalu mencatatkan jumlah kes sebanyak 741 kes, diikuti Tuaran (438); Penampang (335); Papar (257): Sandakan (209); Tawau (179); Sipitang (146); Putatan (134); Lahad Datu (132); Keningau (126); Beaufort (122); dan Kinabatangan (107) kes.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah berkata, sebanyak 17 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

“Sebanyak enam kes kematian di Sandakan, empat kes di Tawau, masing-masing dua kes di Kota Kinabalu dan Kinabatangan. Semporna, Sipitang dan Tambunan mencatatkan satu satu kes.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 830 orang menjadikan jumlah kumulatif 99,604 pesakit.

“Seramai 4,705 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,385 orang di hospital, 3,289 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 18 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS), manakala 13 orang di fasiliti swasta,” katanya.

Sumber : BH

Exit mobile version