Site icon TUHAU BAMBANGAN

MPT Bersatu, Lajim Ukin ‘ditidurkan’ akibat Covid-19

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Lajim Ukin kini ditidurkan akibat jangkitan Covid-19.

Lajim yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), dilaporkan telah ditidurkan sekitar jam 2 petang hari ini.

Ketua Bersatu Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih berkata beliau difahamkan Lajim sudah sembuh selepas lapan hari di hospital dan dinyatakan mahu pulang ke rumah.

“Saya sendiri sempat membuat panggilan video bersama beliau kira-kira jam 10 pagi.

“Menerusi panggilan itu, beliau memaklumkan diserang semula virus itu semalam,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, sumber terdekat yang lain menyatakan bahawa Lajim sudah 12 hari dimasukkan ke sebuah hospital swasta sejak 13 Ogos lalu.

“Sehari sebelum dimasukkan ke hospital, beliau mengikuti lawatan kerja ke Kudat pada 12 Ogos lalu sebelum mengadu kurang sihat ketika berada di rumah pada sebelah malamnya.

“Saya membawanya ke sebuah hospital swasta bagi mendapatkan rawatan namun beliau disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan.

“Kami pulang semula ke rumah selepas itu dan menghantarnya ke hospital swasta lain keesokan harinya bagi mendapatkan rawatan Covid-19 dan pemantauan rapi sehingga hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber turut berkata, Lajim berada dalam keadaan baik ketika mula dimasukkan ke hospital, namun sedikit merosot pada beberapa hari lalu termasuk terdapat jangkitan kuman pada paru-paru.

“Pihak hospital menghubungi isteri beliau memaklumkan Datuk Seri perlu ditidurkan dan keluarga bersetuju,” katanya.

Lajim dinyatakan mempunyai rekod sakit jantung, buah pinggang, kencing manis, dan darah tinggi. – HM

Exit mobile version