Site icon TUHAU BAMBANGAN

Hajiji mohon Kerajaan Persekutuan naik taraf Hospital Tuaran menjadi hospital pakar

TUARAN: Hajiji memohon kepada kerajaan Persekutuan agar menaik taraf Hospital Tuaran menjadi hospital pakar berikutan keperluan semasa bagi menangani pandemik Covid-19.

Langkah menaik taraf Hospital Tuaran ini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kepakaran kawalan infeksi (jangkitan).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman ini berkata, belum ada hospital di Sabah yang memfokuskan kepakaran dalam bidang kawalan jangkitan. Hospital pakar ini juga perlu dilengkapi dengan kemudahan perubatan yang baik.

Beliau turut berkata, kawasan hospital ini mempunyai tapak pembinaan yang luas maka, usaha menaik taraf hospital ini menjadi hospital pakar boleh dilakukan pada bila-bila masa.

“Kedudukan Hospital Tuaran berada di laluan pembinaan lebuh raya Pan Borneo dan amat sesuai untuk dinaik taraf sebagai hospital pakar.” katanya.

Menteri Kewangan negeri ini juga berharap agar kerajaan Persekutuan dapat membina klinik kesihatan di kawasan Sulaman dan Pantai Dalit, Tuaran bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan rawatan kesihatan.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Sulaman, hari ini.

Terdahulu, Hajiji menerima bakul makanan daripada Persatuan Jurutera Malaysia Cawangan Sabah (ACEM) dan Syarikat Forever Living untuk diserahkan kepada penduduk yang terjejas akibat pandemik Covid-19. – Utusan Online

Exit mobile version