Site icon TUHAU BAMBANGAN

Warga asing edar syabu, dipenjara 9 tahun, 10 sebatan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dihukum penjara 9 tahun dan 10 sebatan selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu di sini tiga tahun lalu dalam satu prosiding yang dijalankan di Mahkamah Sesyen 2 Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada Jumaat.

Hukuman tersebut dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus kepada tertuduh, Thomas Sabon Mehen, 38 tahun, selepas mengaku bersalah.

Hukuman dibuat mengikut pertuduhan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hukuman terhadap Thomas berkuat kuasa dari tarikh ditangkap, iaitu pada 11 Oktobet 2021 sebelum dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang selepas menjalani hukuman berikutan tertuduh tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan bukan warganegara Malaysia.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati mengedar dadah berbahaya jenis syabu di kawasan Manggatal pada 11 Oktobet 2021.

Tertuduh yang sedang menjalankan aktiviti pengedaran dadah kemudian ditahan di dalam sebuah kenderaan menerusi Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Semasa penahanan berkenaan, suspek yang bertindak agresif ditahan bersama 93.34 gram dadah jenis syabu di dalam beg miliknya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, bagaimanapun tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 berdasarkan keputusan laporan Jabatan Kimia Malaysia.

Terdahulu, video penangkapan tertuduh tular di media sosial selepas pihak polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kenderaan yang dinaiki tertuduh bagi menghentikan tertuduh bertindak agresif.

Exit mobile version