Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kutipan royalti balak bulat Sabah cecah RM28.3 juta setakat 31 Mac tahun ini

KOTA KINABALU: Jumlah kutipan royalti balak bulat bagi negeri Sabah setakat 31 Mac tahun ini adalah sebanyak RM28.3 juta.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, hasil kutipan yuran pemeriksaan produk kayu yang dieskport pula adalah sebanyak RM629,672.90 serta kutipan dari lain-lain hasil hutan adalah lebih kurang RM10.75 juta.

Manakala, jumlah kutipan hasil yang telah dikutip oleh Jabatan Perhutanan Sabah pada tahun lalu, Nizam berkata, adalah sebanyak RM155,320,887.49.

“Daripada jumlah tersebut, hasil daripada royalti sumber balak adalah RM93,270,201.64 dan hasil kutipan yuran pemeriksaan produk kayu yang dieksport adalah sebanyak RM3,872,617.40.

“Lebihan hasil sebanyak RM58.2 juta adalah daripada lain-lain hasil hutan seperti yuran permit menduduki hutan simpan, yuran pembaharuan lesen, royalti hasil agroforestry (getah dan kelapa sawit), yuran pendaftaran kenderaan dan lain-lain,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang bertanya mengenai jumlah kutipan hasil negeri setakat ini daripada sumber balak dan kayu yang diproses di kilang papan, sama ada daripada hasil royalti atau cukai.

Nizam yang juga ADUN Apas turut memaklumkan bahawa tiada yuran yang dikutip untuk kayu yang diproses di kilang papan tempatan.

“Tiada yuran yang dikutip untuk kayu yang diproses di kilang papan tempatan memandangkan semua kutipan ke atas kayu balak bulat telah pun dikenakan di kawasan penghasilan iaitu sebelum dihantar ke kilang pemprosesan.

“Yuran pemeriksaan hanya dikenakan kepada beberapa produk kayu terpilih yang dieksport dan diimport masuk ke negeri Sabah,” jelasnya.

Exit mobile version