Site icon TUHAU BAMBANGAN

Anak kucing melecur teruk, dibakar hidup-hidup oleh tiga lelaki

KAJANG: Seekor anak kucing melecur teruk selepas dibakar tiga lelaki di kawasan parkir motosikal di Flat Seri Kenari, di sini, Isnin lalu (22 April).

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, tiga lelaki terbabit bertindak membakar anak kucing itu pada kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, seorang daripada lelaki itu telah bertindak kejam membakar anak kucing terbabit, sementara dua lagi rakannya hanya menyaksikan kejadian itu.

“Laporan polis sudah dibuat dan kami meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan atas perbuatan ini.

“Kita risau ia adalah petanda awal keparahan kriminologi terhadap haiwan merebak kepada manusia lain akibat tiada langkah pencegahan, hukuman dan koreksional diambil dengan pantas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Tambah beliau, pihak polis boleh mengguna pakai Akta Kebajikan Haiwan 2015 dalam menjalankan siasatan serta mencadangkan kepada pihak pendakwaan, iaitu pendakwa raya bagi kes jenayah haiwan seumpama ini.

“Anak kucing yang dibakar dilaporkan melecur teruk diselamatkan dan dibawa ke veterinar swasta untuk rawatan pemulihan intensif,” jelasnya.

Exit mobile version