Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki ditahan polis, dipercayai bunuh, bakar bapa saudara sendiri

RANAU: Seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan polis selepas dipercayai membunuh dan membakar mayat bapa saudaranya sendiri di kawasan hutan belakang rumah mereka di Kampung Kipaliu semalam.

Penemuan tulang rentung mangsa 68 tahun oleh ahli keluarganya pada kira-kira 3 petang merungkai persoalan kehilangannya sejak Selasa lalu (16 April).

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan, Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak saudara mangsa dan suspek pada jam 9.43 malam.

“Bagaimanapun semua serpihan tulang yang ditemui akan dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk tujuan analisa perbandingan DNA.

“Suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau tidak jauh dari lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

“Polis masih dalam proses siasatan termasuk mengenalpasti motif sebenar,” katanya kepada kepada media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berkaitan kes yang boleh mengganggu siasatan serta menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Polis Daerah Ranau di talian 088-875222.

Exit mobile version