Site icon TUHAU BAMBANGAN

Hajiji beri penghormatan terakhir kepada mendiang Tan Sri Joseph Kurup

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Tan Sri Joseph Kurup di sini, pagi tadi.

Hajiji ketika ditemui media turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang khususnya isteri Puan Sri Melinda Mak Soak Fong dan juga anak mendiang, Datuk Arthur Joseph Kurup.

“Bagi pihak kerajaan negeri Sabah, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Tan Sri khususnya Puan Sri dan juga Datuk Arthur Kurup.

“Beliau (mendiang) ialah seorang tokoh pemimpin yang banyak berjasa kepada negeri Sabah dan juga negara,” katanya kepada media selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di Wisma Fook Lu Siew Funeral Parlour, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji turut berkongsi pengalaman beliau yang pernah berkhidmat sebagai Pembantu Menteri kepada mendiang pada tahun 1994.

“Banyak yang saya belajar dan terima pandangan serta nasihat daripada beliau. Jadi kita akan mengenang jasa khidmat bakti mendiang untuk selamanya.

“Kita kehilangan seorang pemimpin dan juga sahabat dalam perjuangan,” katanya.

Hajiji juga berkongsi kenangan manis yang pernah dilaluinya bersama mendiang, di mana mendiang membawa beliau melawat beberapa negara di Afrika Selatan seperti Namibia dan Mauritius.

Jasad mendiang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 11.20 malam tadi dengan pesawat komersial sebelum dihantar ke Wisma Fook Lu Siew bagi memberi ruang kepada orang ramai untuk memberi penghormatan.

Pengebumian jasad mendiang dijadualkan akan diadakan pada 23 April ini.

Terdahulu, mendiang dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.22 petang Rabu lalu di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Exit mobile version