Site icon TUHAU BAMBANGAN

Bot kargo bawa barang kawalan tanpa isytihar ditahan

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau telah menahan sebuah bot kargo tempatan yang membawa muatan pelbagai barangan runcit dan barang kawalan tanpa pengisytiharaan, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Tawau menerima maklumat dari orang awam mengenai aktiviti pemunggahan barangan runcit di kawasan Jeti CIQ Tawau.

“Susulan itu, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Khas Pagar Laut dan Ops Tiris telah diaturgerak ke lokasi dilaporkan iaitu di kedudukan 0.4 batu nautika selatan Jeti CIQ Tawau,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan dibuat ke atas bot yang ditahan mendapati seorang warga tempatan berumur 37 tahun, selaku juragan bot telah membawa muatan 200 kilogram beras, 10 kotak minyak masak, 204 kilogram gula pasir, 3 gelen petrol dan 3 tong gas LPG disyaki untuk pasaran di Pulau Sebatik.

“Pemeriksaan lanjut mendapati juragan berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengisytiharaan kastam berkaitan barangan yang dibawa dan tidak mempunyai lesen runcit beras,” katanya.

Menurut beliau, Juragan dan bot serta muatan tersebut telah ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM27 ribu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi yang digunakan peniaga membawa barangan runcit dalam kuantiti yang kecil namun secara berulang perlu dibanteras bagi mengelakkan sindiket penyeludupan barang kawalan tersebut ke negara jiran.

Beliau turut menegaskan, Penguatkuasaaan akan terus diperkasa bagi membanteras sebarang aktiviti melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau.

Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan, selain aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi.

Exit mobile version