Site icon TUHAU BAMBANGAN

Bayi maut, dipercayai didera bapa kandung positif syabu

KAJANG: Bayi lelaki berusia enam bulan maut dipercayai didera bapa kandungnya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini, semalam.

Perkara itu terbongkar selepas hasil bedah siasat ke atas mayat bayi mendapati terdapat kesan kecederaan dikepalanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Muhamad Nasir Drahman berkata, pada awalnya polis menerima laporan daripada bapa mangsa berusia 25 tahun pada jam 8.52 pagi.

“Lelaki itu mendakwa bayinya tidak sedarkan diri di rumahnya.

“Hasil pemeriksaan awal, tiada kecederaan pada badan mangsa dan mayat bayi kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah beliau, hasil bedah siasat dijalankan mendapati terdapat kesan kecederaan pada mayat yang bukan disebabkan oleh kemalangan tetapi perbuatan jenayah.

Berikutan itu, katanya, polis menahan bapa manhsa di perkarangan Unit Forensik hospital berkenaan pada jam 11.30 malam hari sama.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu,” katanya.

Suspek kemudian ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 22 April ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Metro

Exit mobile version