Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki disyaki rakam wanita dalam tandas jadi buruan polis

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu kini sedang giat memburu seorang lelaki yang disyaki merakam seorang wanita di dalam tandas di sebau pusat beli belah di sini pada 6 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada seorang wanita pada petang 7 April lalu.

“Jam lebih kurang 3.34 petang, polis Kota Kinabalu terima laporan kes mengaibkan kehormatan yang berlaku di tandas wanita di Jesselton Mall.

“Kejadian berlaku pada 6 April 2024, jam lebih kurang 8.40 malam.

“Pengadu menyedari ada individu tidak dikenali sedang memegan telefon bimbit di bawah pintu tandas, disyaki merakam gambar atau video pengadu dalam tandas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Zaidi, susulan semakan kamera litar tertutup (CCTV) Jesselton Mall, suspek merupakan seorang lelaki dalam lingkungan umur 20-an.

“Suspek berbaju hitam, seluar coklat, mempunyai misai dan berjanggut nipis serta berselipar,” katanya.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkenaan individu dalam rakaman CCTV tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Wan Azman Mat Salleh di talian 012-8260050 bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya.

Exit mobile version