Site icon TUHAU BAMBANGAN

Polis tahan lelaki bersama minyak sawit tidak berdokumen bernilai lebih RM50 ribu

SANDAKAN: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki cuba menyeleweng sebanyak 3.6 tan minyak sawit di Batu 25, Jalan Sandakan pada Isnin (15 April).

Menerusi Operasi Khas Aidilfitri di lokasi, suspek berusia 36 tahun itu ditahan kerana didapati membawa minyak sawit mentah (CPO) menggunakan sebuah lori kira-kira jam 6.40 petang.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, ACP Ahmad Ariffin berkata, operasi itu dilancarkan berdasarkan maklumat awam.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya terserempak dengan sebuah lori yang berhenti di bahu jalan dan berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap lori berkenaan mendapati membawa muatan disyaki minyak sawit mentah tanpa sebarang dokumen sah.

“Suspek kemudian terus ditahan bersama minyak sawit mentah berkenaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Menurutnya, tangkapan dan semua rampasan terus dibawa ke pejabat PPM Sandakan bagi urusan dokumentasi.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan bernilai RM58,870 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Siasatan lanjut akan dijalankan dan kes berkenaan disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998,” katanya.

Exit mobile version