Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kenakan kompaun RM500 kepada kutu sampah – Christina

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diberi cadangan untuk mengenakan kompaun maksimum sebanyak RM500 kepada individu yang ditangkap membuang sampah di tempat awam.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, cadangan itu perlu sekiranya benar-benar mahu mencapai matlamat yang diingini.

Justeru itu, beliau berkata, kementeriannya menyokong penuh penguatkuasaan penuh DBKK terhadap Undang-Undang Kecil Anti-Sampah 1984 (Pindaan 2005).

“Ia memberikan kuasa kepada DBKK untuk mengeluarkan denda kompaun sehingga RM500 dan tindakan mahkamah terhadap kutu sampah.

“Kita perlu mempertimbangkan secara serius untuk mewajibkan denda kompaun RM500 serta-merta untuk mengelakkan pesalah mengulangi kesalahan itu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, Sabtu lalu (13 April).

Tambah Christina, ketika ini pesalah membuang sampah hanya membayar kompaun tidak melebihi RM500 di bawah Seksyen 9 Undang-Undang Kecil Anti Sampah.

“Saya difahamkan pesalah kutu sampah ini hanya didenda serendah RM30 dan jumlah itu tidak boleh mengatasi masalah berkenaan.

“Laksanakan kuasa menangakp dan seret kutu sampah ke mahkamah untuk disabitkan kesalahan membuang sampah dan tertakluk kepada kerja masyarakat.

“Kita perlu belajar daripada negara Singapura yang memberikan hukuman maksimum sehingga 4,000 dolar sekiranya melakukan kesalahan kali kedua,” jelasnya.

Sebelum ini, DBKK terpaksa mengutip kira-kira 200 kilogram sampah yang bertaburan di kawasan awam sepanjang musim cuti Hari Raya Aidilfitri.

Exit mobile version