Site icon TUHAU BAMBANGAN

Gara-gara cemburu, isteri diikat & diugut bunuh

PERAK: Gara-gara cemburu dan dituduh curang, seorang wanita diikat, dicederakan dan diugut bunuh oleh suaminya di Kampung Baru Alia, Gerik pada Sabtu lalu (13 April).

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, wanita berusia 36 tahun yang diikat itu mengalami lebam di beberapa bahagian badan selain terdapat kesan lilin pada payudara kanan.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur di dalam bilik sebelum dikejutkan suaminya yang bertindak menarik tangan mangsa ke belakang.

Mangsa yang cuba melepaskan diri kemudian diugut bunuh oleh suaminya menggunakan pisau di leher sekiranya mangsa tidak memberi kerjasama.

Suspek yang mengikat kedua-dua tangan mangsa menggunakan tali itu, telah memaksa mangsa untuk mengaku mempunyai hubungan dengan lelaki lain, bagaimanapun tuduhan itu dinafikan mangsa.

Pakaian mangsa turut dikoyakkan dan rantai leher ditarik hingga putus serta cecair lilin dititiskan pada payudara mangsa sambil diugut suspek untuk membakarnya dan rumah mereka jika mangsa masih tidak mahu mengaku.

Mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan diri apabila memberitahu dia ingin ke bilik air sebelum segera keluar dari rumah dan melarikan diri dengan menaiki kereta lalu membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Lalang pada jam 1.32 pagi Ahad (14 April).

Difahamkan, punca kejadian disebabkan cemburu di mana suspek tidak membenarkan isteri menghubungi mana-mana lelaki.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes terbabit.

Sumber: Kosmo

Exit mobile version