Site icon TUHAU BAMBANGAN

Anggota APPM disahkan buta mata kiri selepas cedera ditembak

TAWAU: Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang cedera dalam kejadian tembak menembak di perairan Kunak pada Ahad disahkan mengalami buta masa sebelah kiri.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, perkara itu disahkan oleh pihak Hospital Tawau setelah selesai menjalankan pembedahan ke atas Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45 tahun dan dilaporkan kini berada dalam keadaan stabil.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Hospital Tawau kerana telah membuat pembedahan semalam dan berjaya mengeluarkan bahan ataupun peluru daripada mata kiri anggota Maritim Malaysia terlibat dan beliau dalam keadaan stabil.

“Tadi saya tengok Alhamdulillah kerana stabil namun disebabkan kejadian itu saya hendak maklumkan, beliau telah disahkan oleh pihak doktor yang mana dia akan buta sebelah mata sebab tidak dapat selamatkan kerana peluru terkena saraf.

“Dia hilang sebelah mata kekal tanpa penglihatan, tetapi Alhamdulillah sebelah kanan elok. Jadi ini menjadi satu insiden amat sensitif pada kita,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Tambah Hamid, seorang lagi anggota berusia 35 tahun yang cedera di kedua belah tangan juga kini berada dalam keadaan stabil.

Katanya, suspek sebelum ini telah dikenal pasti berada di kawasan di Suba Duyung dan Batik Parang bagi menjalankan aktiviti rentas sempadan dan dipercayai melakukan jenayah menyeludup barang dan pihak polis turut mengenal pasti suspek.

“Saya ucap terima kasih kepada sahabat pihak Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan juga PDRM. Kita akan bergabung tenaga melalui penggunaan semua aset yang terlibat.

“Aset yang terlibat dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) membabitkan dua kapal dan 21 bot,” katanya.

Dalam pada itu, Hamid berkata, PDRM dari semua bahagian juga turut mengatur gerak lima kapal ronda dan 26 bot ronda serta tempur manakala Maritim Malaysia sendiri membabitkan empat kapal maritim dan 15 bot ronda dan tempur.

Exit mobile version