Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tiada cadangan larang Dr Akmal masuk Sabah buat masa ini – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tiada cadangan untuk menghalang Pengerusi Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk masuk ke negeri Sabah buat masa ini, jelas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengambil tindakan lanjut terhadap Dr. Akmal.

Bagaimanapun, katanya, terdapat kemungkinan pihaknya akan mempertimbangkan semula cadangan tersebut sekiranya ia berpotensi menggugat keharmonian di negeri ini.

“Nanti kita siasat. Tidak perlu terlalu dihebohkan, kita serahkan sahaja dulu kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan yang sewajarnya.

“Setakat ini belum ada cadangan untuk menghalang beliau masuk, tetapi jika sudah menggugat keharmonian rakyat kita yang berbeza agama dan kepercayaan di sini, kita akan fikir tindakan selanjutnya.

“Tetapi setakat ini, tiada apa-apa lagi tindakan,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Kembara Kasih Ramadan di Pulau gaya pada Ahad.

Jumaat lalu dilaporkan, Dr. Akmal ditahan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Dr. Akmal kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk diambil keterangan berhubung isu stokin tertera kalimah Allah yang dijual di Pasaraya Mini KK Mart.

Bagaimanapun, ketibaan Dr. Akmal ke Sabah ketika itu adalah bagi menghadiri program Pemuda UMNO yang diadakan di Beaufort.

Terdapat juga cadangan dari beberapa pemimpin politik di Sabah yang meminta kerajaan negeri mengeluarkan arahan untuk menghalang Dr. Akmal dari memasuki Sabah.

Exit mobile version