Site icon TUHAU BAMBANGAN

Satu kampung gelap, lelaki curi kabel parah muka melecur

KOTA KINABALU: Satu kampung bergelap akibat terputus bekalan elektrik selepas seorang lelaki bertindak mencuri kabel penjawang milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di sekitar kawasan Kampung Gentisan, pada awal pagi Isnin.

Manakala, lelaki berusia 30-an yang bertindak mencuri kabel pada kira-kira jam 3 pagi tersebut dilaporkan mengalami cedera parah akibat terkena renjatan elektrik.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kalsom Idris berkata, kejadian itu disedari oleh penduduk kampung selepas terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum bekalan elektrik terputus.

“Penduduk kampung terdengar suara orang menjerit meminta tolong dari tepi jalan sebelum menemui seorang lelaki berada dalam keadaan lemah sambil meraung kesakitan akibat cedera parah.

“Dalam kejadian itu, suspek disyaki terkena renjatan elektrik ketika cubaan mencuri kabel di pencawang SESB yang berada di kawasan berhampiran.

“Manakala, seorang lagi rakannya turut ikut cedera namun sempat melarikan diri sebelum polis tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, suspek yang parah melecur itu kemudian dibawa ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut oleh ahli keluarganya sendiri.

“Keadaan lelaki terbabit kritikal kerana mengalami kecederaan melecur tahap tiga di bahagian muka dan leher manakala tahap dua di bahagian bahu dan lengan kanan.

“Selain itu terdapat luka di bahagian kening kiri dan matanya bengkak serta tidak dapat dibuka,” katanya.

Kes kini masih dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat harta benda awam.

Exit mobile version