Site icon TUHAU BAMBANGAN

Wanita warga emas maut, kereta Viva rempuh pagar rumah

LAHAD DATU: Seorang wanita warga emas dilaporkan maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas lalu merempuh pagar rumah di kawasan perumahan di Taman Gabungan, Lahad Datu semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, (ACP) Rohan Shah Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa berusia 70 tahun disahkan meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan parah yang dialaminya.

“Hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan jenis Perodua Viva lalu merempuh sebuah rumah dan juga kenderaan lain yang ada di kawasan perumahan tersebut.

“Mangsa mengalami cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang melihat kejadian ini diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi terus pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohamad Humaidi Harun di talian 089-881255 sambungan 414 bagi membantu siasatan,” katanya.

Rohan dalam pada itu turut menasihatkan penggunakan jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati ketika memandu.

“Pemandu warga emas juga diminta supaya mementingkan keupayaan dan tahap kesihatan masing-masing ketika memandu,” katanya.

Exit mobile version