Site icon TUHAU BAMBANGAN

Inspektor Polis mengaku tidak bersalah terima suapan RM500 setiap bulan

KOTA KINABALU: Inspektor Polis mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu hari ini atas 8 pertuduhan menerima suapan rasuah sebanyak RM500 setiap bulan dalam tahun 2020 hingga 2021.

Tertuduh, Liffindy Ziubin, 45 tahun menyatakan pengakuan tidak bersalahnya itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Jason Juga.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran secara rasuah menerima suapan wang berjumlah RM500 dari seorang individu melalui pindahan wang atas talian pada 24 Disember 2020.

Suapan itu sebagai balasan untuk melakukan apa-apa perbuatan yang berhubung dengan hal ehwal principal tertuduh, iaitu melindungi perniagaan syarikat Tang Buan Seng Credit Sdn Bhd.

Demikian pertuduhan kedua hingga lapan yang mana tertuduh menerima suapan sama atas alasan yang juga sama pada 27 Mac, 24 Mei, 26 Jun, 28 Julai, 26 Ogos, 27 September, dan 23 November dalam tempoh tahun 2021.

Lapan pertuduhan itu, disiasat di bawah Seksyen 17 (a) ASPRM 2009.

Pertuduhan tersebut boleh membawa membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan untuk tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan dan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap dua bulan serta pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, iaitu Penguasa Nur Sabrina Ali dan tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh.

Exit mobile version