Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sayap PKR Sabah kekal sokong pimpinan Sangkar sebagai Pengerusi MPN

KOTA KINABALU: Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wanita dan Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah sebulat suara menyatakan pendirian mereka yang kekal menyokong Datuk Sangkar Rasam sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah. 

Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil menyifatkan tindakan 15 Ketua Cabang PKR Sabah yang mendesak Sangkar untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi MPN adalah tidak munasabah. 

Justeru itu, katanya, tindakan tersebut telah membelakangi proses musyawarah yang mana sepatutnya perlu dibincangkan dalam mesyuarat selain perlu menggunakan saluran parti yang betul. 

“Sepatutnya perkara ini dibawa berbincang dalam mesyuarat dan ada saluran parti, maka ikutlah saluran tersebut. 

“Bukan dengan mengeluarkan kenyataan media dan sidang media yang menggambarkan pergolakan dalam parti itu yang mengakibatkan parti ini dilihat lemah di luar,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat MPN Sabah, di sini, hari ini. 

Jelas Zaidi, sebarang keputusan atau penukaran Pengerusi MPN Sabah adalah atas kuasa Presiden Parti, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lantikan MPN ini seperti dalam perlembagaan parti 21(8) di mana Pengerusi Majlis Pimpinan setiap negeri hendaklah dilantik oleh Presiden setelah berunding dengan Ketua-Ketua Cabang di negeri berkaitan,” jelasnya. 

Isnin lalu, media melaporkan seramai 15 Ketua Cabang PKR Sabah mendesak Sangkat untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi MPN Sabah kerana didakwa tidak melakukan sebarang tindakan untuk mengukuhkan parti.

Exit mobile version