Site icon TUHAU BAMBANGAN

KPDN kaji kebolehlaksanaan ‘Lemon Law’, perkasa hak pengguna tebus rugi

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan satu Kajian Kebolehlaksanaan ‘Lemon Law’ bagi memperkasakan hak pengguna.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tebus rugi itu bertujuan sekiranya pengguna menerima kenderaan bermotor yang rosak atau gagal mematuhi standard kualiti atau prestasi seperti yang dijanjikan oleh pembekal dan tidak dapat dibaiki atau dibetulkan. 

“Setelah kajian selesai, satu keputusan dasar di peringkat kementerian akan dibuat sebelum penambahbaikan rangka kerja perundangan dilaksanakan,” katanya pada Persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dari Lim Lip Eng (Kepong) yang meminta menteri KPDN menyatakan sama ada ‘Lemon Law’ akan diperkenalkan untuk melindungi hak pengguna dalam pembelian kenderaan baru dan terpakai sekiranya berlaku kerosakan. 

Sementara itu, Armizan berkata, ‘Lemon Law’ merupakan undang-undang yang menyediakan hak tebus rugi (redress) kepada pembeli kereta dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk yang berulang kali rosak dan gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi. 

“Antara remedi yang boleh dituntut oleh pengguna atau pembeli di bawah ‘Lemon Law’ ini adalah pembaikan, penggantian, pengurangan harga atau pembayaran balik. 

“Di Malaysia, peruntukan perundangan berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal atau pengilang sekiranya barangan yang dibekalkan gagal mematuhi gerenti yang ditetapkan telah termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] di bawah kawal selia KPDN,” jelasnya. 

Exit mobile version