Site icon TUHAU BAMBANGAN

PKR Sabah masih kukuh di bawah pimpinan Datuk Sangkar – Simsudin

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah masih kukuh di bawah pimpinan Datuk Sangkar Rasam, kata Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Simsudin Sidek.

Katanya, perlantikan Pengerusi MPN adalah mengikut saluran yang betul berdasarkan perlembagaan parti dan dipersetujui oleh Presiden.

“Pada 22 Februari yang lalu penstrukturan semula semua pengerusi pimpinan negeri di semua negeri telah dibuat oleh parti dan telah mengekalkan Datuk Sangkar Rasam sebagai Pengerusi MPN Sabah.

“Semua pihak hendaklah menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media yang dikeluarkan semalam, iaitu 15 Ketua Cabang PKR Sabah menggesa Sangkar untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi MPN Sabah.

Bagaimanapun, Ketua Cabang PKR Semporna, Mohd Amin Abdul Mem telah menafikan terlibat dalam gerakan tersebut walaupun namanya telah dimasukan dalam gerakan itu.

Simsudin berkata, beliau mengakui pergolakan dalaman yang berlaku mungkin ada kesan perbezaan pendapat tetapi itu adalah perkara biasa dalam organisasi.

“Tindakan tersebut tidak memberi kelebihan kepada parti melainkan membawa kepada perpecahan kepada PKR di sabah,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, Simsudin turut menjelaskan banyak program telah dilaksanakan sebelum ini.

“Program dan aktiviti parti sama ada peringkat negeri mahupun cabang kerap diadakan dari semasa ke semasa dan berkala yang melibatkan ahli parti dan juga pimpinan, serta masyarakat keseluruhannya.

“Contohnya Jelajah Mesyuarat MPN, AMK, Wanita dan Cabang telah dilaksanakan melibatkan seluruh cabang bagi mengeratkan hubungan antara pimpinan dan juga anggota.

“Disamping itu program-program masyarakat seperti bantuan bakul makanan, latihan berkala anjuran bersama pusat dan negeri, acara kebudayaan, acara keluarga, sambutan hari perayaan yang melibatkan anggota parti dan juga masyarakat,” jelas beliau.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak dalam parti memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang, bertanding dan memenangi banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya juga menyeru agar semua pihak menghormati keputusan Presiden dan parti, manakala sebarang kemusykilan serta perbezaan pendapat boleh disalurkan melalui platform yang telah disediakan oleh parti,” tegas beliau lagi.

Exit mobile version