Site icon TUHAU BAMBANGAN

15 Ketua Cabang PKR Sabah gesa Sangkar letak jawatan

KOTA KINABALU: Seramai 15 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menggesa Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Datuk Sangkar Rasam untuk meletakkan jawatan tersebut.

Ketua PKR Bahagian Kota Marudu yang merupakan jurucakap kepada 15 ketua Cabang PKR, Sazalye Donol berkata, Sangkar yang dilantik sejak tahun 2022 tidak melakukan sebarang tindakan untuk mengukuhkan parti.

“Dia hanya tahu mengadakan jamuan untuk pemimpin pusat yang datang melawat.

“Setiap kali bermesyuarat, tiada apa yang dicapai, dan hala tuju kami sebagai sebuah parti, tidak jelas,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Justeru itu, katanya, 15 individu telah pun menandatangani akuan berkanun (SD) yang disampaikan kepada Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Azman Abidin.

“Terdapat lebih ramai ketua bahagian yang menyokong usul ini namun belum menandatangani SD dan jumlah 15 daripada 26 bahagian PKR di Sabah termasuk Labuan merupakan suara majoriti,” tegasnya.

Bagaimanapun, Sazalye tidak menamakan calon baharu yang akan menggantikan kedudukan Sangkar.

“Tiada jawatan, bertanding pun kalah. Sebagai sebuah parti, tidak patut apabila bermesyuarat dia duduk lebih tinggi berbanding menteri atau pembantu menteri,” katanya.

Ketika ini, PKR Sabah mempunyai Datuk Mustapha Sakmud sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Christina Liew sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Peto Galim sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan.

Exit mobile version