Site icon TUHAU BAMBANGAN

205kg syabu bernilai lebih RM6.8 juta berjaya dirampas

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah merampas lebih kurang 205 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM6.8 juta dalam satu serbuan di daerah Penampang pada 15 Februari lalu.

Penolong Ketua Pengarah KASTAM Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, serbuan dilakukan pada jam 9.10 pagi terhadap sebuah pos pengiriman barang di HS Commercial Centre Penampang menerusi Operasi Dragon Malaysia Korea (MK). 

Katanya, serbuan yang dijalankan oleh Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) telah menemui 15 kotak parcel yang disyaki mengandungi barang larangan, iaitu dadah.

“Pemeriksaan lanjut menggunakan alat pengesan dadah (TRUNAC) telah mendapati bahawa kandungan 15 kotak parcel tersebut adalah dadah berbahaya jenis Methampetamine dengan anggaran berat kasar 205 kilogram dan dianggarkan bernilai RM6.85 juta.

“Semua dadah yang dijumpai telah dibungkus menggunakan pembungkus plastik teh pelbagai warna, seperti emas Guanyinwang, hijau Qing Shan, gangsa Ling Ran Tea dan biru Cai Yun Li,” katanya dalam sidang media KASTAM Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, setakat ini belum ada tangkapan dibuat, namun usaha untuk mengesan pengirim dan penerima sedang dilakukan serta kes kini dalam siasatan lanjut bagi mengesan suspek yang terlibat.

Manakala, Modus Operandi (MO) bagi kes ini katanya, adalah sindiket mengedar dadah dengan menggunakan perkhidmatan kurier.

“Mengedarkan dadah menggunakan perkhidmatan kurier dan memasukkan dadah dalam bungkusan plastik teh pelbagai warna agar dadah berbahaya yang dibungkus tidak dikesan oleh pihak penguatkuasaan. 

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup,” katanya.

Tambah Nasir, ini merupakan rampasan dadah berbahaya yang pertama bagi tahun 2024 dan terbesar pernah direkodkan oleh JKDM Zon Sabah.

Berdasarkan analisis yang dijalankan, kejayaan ini dijangka dapat menyelamatkan sekurang-kurangnya lebih 600 ribu penagih dadah. 

Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan melibatkan rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain termasuk dadah serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Exit mobile version