Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kerjasama GRS-PH Plus dialu-alukan, tapi terjemahkan kerjasama hingga ke akar umbi – Ewon

PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mengalu-alu kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, namun kerjasama itu perlu diterjemahkan sehinggga ke peringkat akar umbi sekarang.

Beliau berkata, ini kerana masih banyak perkara berkaitan kerjasama GRS-PH Plus perlu direalisasikan terutamanya perkongsian pelantikan politik dan keseimbangan dalam pentadbiran awam.

“Saya mengalu-alukan kenyataan yang dikeluarkan oleh rakan saya saudara, Datuk Armizan Mohd Ali terkait dengan kerjasama GRS-PH dan kerjasama ini sedang dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri.

“Bagaimanapun masih banyak perkara berkaitan kerjasama ini perlu direalisasikan terutamanya perkongsian pelantikan politik dan resolusi-resolusi daripada komponen PH yang ingin melihat sokongan daripada kerajaan negeri, ini semua memerlukan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan sambutan Tahun Baharu Cina anjuran PCCI, di sini, hari ini.

Mengenai kerjasma pada PRN akan datang, beliau mengalu-alukan kenyataan Ahli Parlimen Papar itu, namun perlu ada perbincangan baru dan segar terkait pengagihan kerusi pilihan raya.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini sebagai Presiden UPKO yang duduk dalam Majlis Presiden PH, saya menginginkan satu perbincangan yang baru dan segar terkait dengan agihan kerusi pilihan raya nanti,” katanya.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau tidak bersetuju sekiranya parti berkenaan menganggap kerusi yang mereka menang atas tiket parti asal wakil rakyat berkenaan pada pilihan raya lalu milik parti itu.

“Tidak harus ada parti yang menganggap parti yang memenangi melalui wakil rakyat yang melompat. Saya tidak setuju kalau itu dianggap milik parti baru wakil rakyat tersebut.

“Pengagihan kerusi memerlukan satu penelitian dan perbincangan yang segar dan baru kerana pilihan raya pada 2020 sangat berbeza dengan apa yang ada ketika ini.

“UPKO mempunyai rakan gabungan yang berbeza pada masa itu, begitu juga dengan GRS yang mempunyai rakan gabungan yang berbeza. Jadi senario telah banyak berubah, sebab itu kita memerlukan perbincangan baru terutamanya berkaitan pengagihan kerusi PRN akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS yang mahu perpaduan sedia ada antara gabungan berkenaan dengan PH diteruskan dalam pilihan raya negeri akan datang.

Ahli Parlimen Papar itu dipetik sebagai berkata walaupun kepimpinan tertinggi GRS belum membuat sebarang perbincangan mengenai formula kerjasama dalam pilihan raya akan datang namun beliau mempunyai pendiriannya sendiri.

Exit mobile version