Site icon TUHAU BAMBANGAN

Datuk, antara 11 individu ahli ‘Geng Upik’ didakwa di Mahkamah Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang lelaki bergelar Datuk antara 11 individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen 3 di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ sejak tahun 2015.

Tertuduh, Datuk Maslan Sani, 41 tahun bersama 10 lagi tertuduh yang lain didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan, Akta 574 dan boleh dihukum Seksyen yang sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan daripada tertuduh dan sebutan semula ditetapkan pada 1 Mac depan sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, masing-masing tertuduh didakwa melakukan kesalahan bermula dari awal tahun 2015 sehingga 24 Disember tahun lalu.

Tertuduh terbabit ialah, Rahman Burijin, 44; Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45; Mohd Fauzie Rablin, 33; Shahlan Shah Abdul Samad, 37; Datuk Maslan Sani, 41; Nelson Yen Yee Chung, 46; Mohd Faridzul Asmahadi, 31; Fazrul Bahar, 32; Alkan Abraham, 35; Mazlan Mahmud, 41; dan Mahathir Jibarail, 49.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nazran Mohd Sham di hadapan Hakim, Noor Hafizah Mohd Salim.

Pada 26 Disember tahun lalu, media melaporkan ketua sindiket dadah bergelar Datuk antara 10 individu yang ditahan di Sabah kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis syabu yang terbesar di negeri itu sejak 2015.

Susulan itu, pada 8 Januari lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata seorang pegawai agensi penguat kuasa yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah berkenaan turut ditahan menjadikan keseluruhan 11 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Exit mobile version