Site icon TUHAU BAMBANGAN

Penampang catat 7 kes Demam Campak dalam 2 minggu awal tahun ini

PENAMPANG: Sebanyak tujuh kes baharu measles (demam campak) dilaporkan berlaku di daerah ini dalam dua minggu pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Asits Sanna berkata, ianya menjadikan jumlah 52 kes sejak 2023.

Katanya, sebanyak 65 peratus pesakit merupakan bukan warganegara di mana julat umur kes tertinggi adalah di antara 7 hingga 17 tahun (46 peratus) diikuti dengan 2 hingga 6 tahun (23 peratus).

“Kebanyakan kes iaitu 87 peratus tidak pernah menerima imunisasi measles. Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 27 lokaliti telah melaporkan kes.

“Enam lokaliti tertinggi adalah di Kg. Kobusak (8 kes), Kg. Tunoh (5 kes), Community Learning Centre (CLC) Cerdas, Kg Limbanak (4 kes), Kg Lembah Impian (4 kes), Kg.Tuavon (4 kes) dan Kg. Kolopis (4 kes),” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Katanya, kebanyakkan kes melaporkan gejala pada penghujung tahun 2023.

“Satu wabak measles dilaporkan di Kg. Limbanak yang melibatkan 37 kes di mana terdapat kaitan epidemiologi di antara kes-kes ini dengan kes-kes yang dilaporkan di lokaliti-lokaliti lain yang terlibat.

“Kebanyakan kes telah pulih dan hanya terdapat satu kes sahaja yang mempunyai sejarah dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Walaubagaimanapun kes tersebut telah pulih dan telah di discaj,” jelasnya.

Bagi membendung penularan kes measles dalam kalangan masyarakat, JKNS melalui Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang giat menjalankan aktiviti kawalan termasuklah penyiasatan kes yang menyeluruh.

Aktiviti pemberian imunisasi bersasar kepada kanak-kanak di lokaliti terlibat merupakan antara aktiviti kawalan utama yang sedang dilaksanakan selain daripada itu aktiviti promosi kesihatan.

Measles adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh virus measles. Penyakit ini sangat mudah menular kepada orang lain melalui udara dengan titisan cecair daripada mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin.

Jangkitan measles dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi measles sentiasa melebihi 95 peratus pada setiap masa.

Asits berkata liputan imunisasi yang tinggi dapat memberikan perlindungan kepada komuniti melalui kesan imuniti kelompok.

“Justeru, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka mendapatkan immunisasi measles yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan,” tegasnya.

Di negeri Sabah, imunisasi mealses diberikan pada usia 6 bulan, 9 bulan dan kemudian ketika berumur 1 tahun.

Perkhidmatan imunisasi bagi kanak-kanak ini boleh diperolehi di fasiliti kesihatan Kerajaan dan swasta.

Individu yang bergejala dinasihati agar sentiasa mengamalkan adab batuk dan bersin iaitu menutup mulut serta mencuci tangan selepas batuk bagi mencegah penularan jangkitan measles kepada orang lain.

Exit mobile version