Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah perlu lapangan terbang baharu, bukan terminal baharu

KOTA KINABALU: Pembinaan terminal baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hanyalah penyelesaian jangka pendek dan bukan jawapan yang perlu untuk lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia.

Perunding kanan penerbangan, Mohd Faizal Malik berkata, tawaran dari Kerajaan Persekutuan untuk membina terminal baharu bagi memenuhi permintaan KKIA yang semakin meningkat, tidak aan memenuhi keperluan lapangan terbang itu pada masa hadapan.

“Terminal baharu di KKIA tidak mampu menampung had semasa kerana ia masih kekal sebagai lapangan terbang satu landasan.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mempunyai tiga landasan dan dengan KKIA sebagai lapangan terbang kedua tersibuk di negara ini, sekurang-kurangnya Sabah memerlukan lapangan terbang yang mempunyai dua landasan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis (28 Dis).

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersedia untuk mempertimbangkan pembinaan sebuah lagi terminal di KKIA kerana melihat industri pelancongan Sabah yang berkembang pesat.

Katanya ketibaan pelancong dijangka meningkat kerana keindahan alam semula jadi Sabah dan keramahan penduduknya yang menarik pegunjung.

Daerah Tuaran dan Kimanis antara dua lokasi yang sebelum ini dicadangkan untuk dijadikan lapangan terbang baharu.

Sementara itu, Mohd Faizal menegaskan tidak banyak ruang untuk lapangan terbang sedia ada diperbesarkan kerana ia berdekatan dengan pantai dan kawasan sekelilingnya padat dengan penduduk.

“Selain itu, sebarang usaha untuk tebus guna tanah hanya akan memberi kesan buruk kepada keindahan Tanjung Aru dan menjejaskan pembangunan masa depan di kawasan itu serta sekitarnya.

“Kita perlu belajar daripada isu dihadapi Lapangan Terbang Subang sebelum ini, yang akhirnya berlaku penempatan semula dan pembinaan KLIA di Sepang,” katanya.

Faizal berkata cadangan penempatan semula perlu kerana lapangan terbang sedia ada menghampiri kapasiti maksimumnya iaitu 10 juta penumpang setahun dan telah mengendalikan kira-kira sembilan juta penumpang setiap tahun, selain bertujuan menyaingi perkembangan pesat dalam sektor penerbangan moden.

“Oleh itu, melabur dan memodenkan kemudahannya seperti memiliki lapangan terbang yang moden bukan sahaja dapat menarik minat pelabur tetapi juga menambah baik perhubungan udara Sabah.

“Ia juga boleh memanfaatkan kelebihannya dan melengkapi pembangunan di Kalimantan, serta wilayah BIMP-EAGA (Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia Filipina),” katanya.

Mohd Faizal berkata kemudahan sedia ada yang semakin tepu juga menandakan perlunya penempatan semula sama ada ke Kimanis atau Tuaran.

“Kedua-dua lokasi menawarkan kawasan dan sumber yang mencukupi untuk menampung peningkatan jumlah penumpang serta mengekalkan trajektori sektor penerbangan Sabah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan sebarang cadangan penempatan semula perlu melalui penilaian menyeluruh, kajian kebolehlaksanaan dan rundingan komuniti bagi memastikan ia mematuhi peraturan dan kepentingan semua pemegang taruh terlibat. 

Sumber: The Star, Bernama

Exit mobile version