Site icon TUHAU BAMBANGAN

PEMANDU BEZZA MILIKI 11 REKOD JENAYAH, DADAH DAN SAMUN

PETALING JAYA: Pemandu Perodua Bezza yang dikejar lebih 20 buah kereta peronda polis akibat melarikan diri daripada pemeriksaan dari Petaling Jaya menghala ke Cyberjaya semalam didapati mempunyai 11 rekod lampau membabitkan jenayah, dadah dan samun.

Ketua Polis daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, 11 semakan rekod lampau itu melibatkan enam kesalahan jenayah, empat kesalahan melibatkan dadah dan satu rekod lagi masih dikehendaki bersabit kesalahan samun berkumpulan dengan menggunakan senjata.

“Pemeriksaan dalam kenderaan tersebut mendapati pemandu adalah warga tempatan dan penumpang hadapan adalah peremuan warga tempatan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan yang dipandu suspek, mendapati sebilah pisau, sebilah gunting, satu set sarung tangan, satu set buah topi keledar, satu keping kad pengenalan individu lain dan empat keping kad debit,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Tambah beliau, kedua-dua suspek telah di bawa ke mahkamah Majistret Petaling Jaya dan ditahan reman di bawah Sekysen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari.

Kes kini di siasat dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Kes ini juga telah dirujuk ke bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain dan boleh dihukum dengan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak melebihi RM15,000,” jelasnya.

Semalam, Ibu Pejabat Polis daerah Petaling Jaya menerima laporan daripada anggotan peronda polis yang memaklumkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza telah lari dari pemeriksaan polis semasa berada di bahu Jalan Utara, Petaling Jaya dengan memasuki Lebuhraya Persekutuan menuju ke Shah Alam, Selangor.

Semasa tiba di Jalan PJS6/1 Sungei Way, Petaling Jaya, anggota unit rondaan bermotosikal yang cuba menahan kenderaan suspek telah dirempuh dan menyebabkan anggota tersebut mengalami kecederaan.

Hebahan bantuan telah dilakukan dan beberapa buah kereta peronda polis daripada Ibu Pejabat Sepang, Serdang dan Subang Jaya bersama anggota dari cawangan D4 Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya telah ditugaskan untuk mengejar kenderaan suspek dengan jarak lebih kurang 50 kilometer.

Exit mobile version