Site icon TUHAU BAMBANGAN

DUN SABAH: HAPUS KIRA HUTANG PULIHKAN NPL DAN TINGKATKAN KREDIBILITI SD BANK

KOTA KINABALU: Hapus Kira Hutang merupakan salah satu kaedah pemulihan Hutang Tidak Berbayar (NPL) dan bertujuan untuk meningkatkan kredibiliti Sabah Development Bank (SD Bank) sebagai institusi kewangan kerajaan negeri Sabah.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia selaras dalam usaha untuk meneruskan pembiayaan ke atas projek-projek di bawah perjanjian rangka kerjasama strategik bersama Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

Justeru itu, katanya, penyelesaian ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dari tahun 2024 hingga selesai dan dengan pembiayaan kerajaan negeri, ia mampu meningkatkan keupayaan SD Bank dalam merancakkan pembangunan ekonomi negeri ini.

“Kerajaan negeri yakin dengan lebihan pembiayaan ini, SD Bank berupaya untuk membiayai program-program pembangunan yang bermanfaat dari segi sosial dan ekonomi melalui agensi-agensi kerajaan dengan kewangan yang kukuh,” katanya dalam sidang DUN Sabah pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang bertanya berapa jumlah hutan tidak berbayar oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan kenapa kerajaan negeri dibebankan untuk menanggung hutang tersebut akibat tindakan hapus kira.

Sementara itu, Masidi yang juga ADUN Karanaan turut menyatakan bahawa hapus kira hutang itu adalah selaras dengan perjanjian Nominated Lon yang ditandatangani pada 29 September 2010 di antara kerajaan negeri dan SD Bank.

“Perjanjian ini menyatakan dengan jelas bahawa semua risiko kredit dan pinjaman dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Negeri dan Pemberi Pinjaman (SDB) tidak menanggung sebarang risiko atau kerugian dalam keingkaran membayar balik dan pembayaran pinjaman atau mana-mana hutang yang timbul di bawah perjanjian tersebut,” jelasnya.

Untuk rekod, Masidi berkata, baki hutang GLC daripada SD Bank adalah berjumlah RM2.2 bilion setakat suku tahun ketiga tahun ini. Sementara RM1.2 bilion merupakan baki hutang Sabah International Petroleum (SIP) dan sebanyak RM700 juta telah diselesaikan dalam fasa pertama oleh SMJ Energy Sdn Bhd.

Exit mobile version