Site icon TUHAU BAMBANGAN

DUN SABAH: PENDIRIAN SABAH MASIH SAMA DALAM JUMLAH PEMBERIAN KHAS PERSEKUTUAN

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah masih berpendirian yang sama dalam isu jumlah Pemberian Khas daripada Kerajaan Persekutuan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pendirian tersebut adalah melibatkan perkara 112C dan 122D Perlembagaan Persekutuan.

“Pendirian kerajaan negeri masih sama, iaitu jumlah pemberian khas yang dituntut adalah berdasarkan formula yang termaktub di bawah Seksyen 2 (1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan, iaitu bersamaan dengan 40 peratus daripada amaun hasil bersih yang diperoleh oleh Kerajaan Persekutuan dari negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob yang bertanya tentang status semasa pelaksanaan mengenai hak-hak Sabah seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perkara-perkara yang telah dipersetujui dan dilaksanakan dalam sidang DUN Ke-16 Sabah pada Rabu.

Sementara itu, Nizam yang juga ADUN Apas berkata, antara tujuh perkara yang telah dan sedang dilaksanakan mengikut tuntutan MA63, iaitu Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1 (2) dan Perkara 160 (2) serta pemberian kuasa mengenai Pelesenan dan Penangkapan Ikan Laut dalam kerajaan negeri Sabah.

“Ketiga, penyerahan kuasa ke atas Pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan negeri Sabah dan Penyerahan Kuasa Kawal Selia Gas.

“Seterusnya, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah sebagai Jabatan Teknikal di bawah AP182, Pelantikan Wakil Kerajaan Negeri Sabah sebagai ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan insyaAllah pada awal Januari 2024 ialah, Penyerahan Kuasa Kawal Selia Pembekalan Elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah,” jelasnya.

Exit mobile version