Site icon TUHAU BAMBANGAN

DUN SABAH: KEMASUKAN PELANCONG TAHUN INI, HAMPIR CAPAI SASARAN 2.2 JUTA ORANG

KOTA KINABALU: Kemasukan pelancong ke negeri Sabah pada tahun ini hampir mencapai sasaran 2.2 juta orang dengan anggaran resit pelancongan sebanyak RM4.5 bilion.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, anggaran itu hampir tercapai dengan statisitik terkini ketibaan pelawat setakat September, iaitu seramai 1,883,794 orang.

“Ini menunjukkan peningkatan positif sebanyak 58.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022 (1,190.513 orang pelawat) dengan anggaran resit pelancongan sebanyak RM3.9 bilion.

“Daripada jumlah tersebut, pelawat domestik merekodkan seramai 1,287,279 orang, manakala pelawat antarabangsa pula adalah seramai 596,515 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang bertanya berapakah anggaran kehadiran pelancong ke Sabah pada tahun ini dan tahun hadapan pada mesyuarat penggal keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-16 pada Isnin.

Sementara itu, Christina berkata, kemasukan pelancong ke negeri Sabah bagi tahun 2024 dianggar akan naik kepada 15 hingga 25 peratus daripada jumlah anggaran tahun ini.

“Namun begitu, jumlah ini tertakluk kepada semakan berdasarkan situasi semasa ekonomi global, jumlah penerbangan yang masuk ke Sabah dan juga trend pelancongan,” jelasnya.

Exit mobile version