Site icon TUHAU BAMBANGAN

KABINET TIDAK PERNAH BINCANG CADANG BAWA MASUK PELARIAN PERANG PALESTINE

KENINGAU: Kabinet persektuan setakat ini tidak pernah membincangkan sebarang cadangan membenarkan kemasukan masuk pelarian perang Palestine ke negara ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick.

Menurut beliau, kabinet juga tidak pernah membincangkan soal mengenai sokongan kepada Hamas sejak konflik Israel – Palestine memuncak beberapa minggu yang lepas.

“Banyak pandangan yang dilontarkan di pelbagai platform perbincangan rakyat terkait dengan konflik Israel – Palestine. Saya ingin menyatakan bahawa kabinet kerajaan persekutuan tidak pernah membincangkan sebarang cadangan mengenai kemasukan pelarian perang Palestine ke negara ini atau sebarang sokongan ke atas Hamas.

“Kabinet hanya bersetuju menyalurkan bantuan kemanusian melalui pungutan derma untuk membantu rakyat Palestine samada yang beragama Islam atau Kristian yang menjadi mangsa kepada konflik perang di wilayah tersebut,” katanya.

Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyatakan pendirian parti tersebut untuk mengutamakan kesusahan rakyat Malaysia terutama di Sabah yang memerlukan pembelaan daripada kerajaan dan dalam masa yang sama harus mengambil ikhtibar daripada masalah pendatang asing yang bermula daripada penerimaan masuk pelarian perang Filipina ke negeri ini.

“Sekiranya perkara mengenai pelarian perang Palestine dibawa ke mesyuarat kabinet persekutuan, sudah tentu saya akan menyatakan pandangan dan pendirian saya.

“Pertama, dalam konteks Sabah, kerajaan mesti mengambil ikhtibar daripada masalah pendatang asing di Sabah yang semakin kompleks kerana bermula daripada penerimaan mereka sebagai pelarian perang saudara di Filipina.

“Kedua, berdasarkan kepada laporan data kemiskinan, lapan daerah di Sabah disenaraikan yang paling termiskin di Malaysia. Maka bantuan kemanusian dan bantuan-bantuan kerajaan yang lain harus difokuskan kepada usaha membawa daerah-daerah ini keluar daripada kemiskinan.

“Inilah pandangan dan pendirian yang akan saya sampaikan kepada kabinet sekiranya perkara ini dibincangkan. Setakat ini kabinet persekutuan tidak pernah membincangkan sebarang cadangan membawa masuk pelarian perang Palestine ke negara ini,” katanya.

Ewon menyatakan demikian semasa berucap dalam program “mirumo-rumo” anjuran UPKO Bahagian Keningau di sini, pada Ahad lalu (19 Nov).

Exit mobile version