Site icon TUHAU BAMBANGAN

KUSKOP BERJAYA LAHIRKAN LEBIH 75,000 USAHAWAN BAHARU SETAKAT SEPTEMBER 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berjaya melahirkan sebanyak 75,600 usahawan baharu setakat September tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ia adalah hasil daripada pelaksanaan Pelan Strategik KUSKOP melibatkan 12 inisiatif yang dilaksanakan untuk membangunkan usahawan-usahawan baharu tahun ini.

“Antara program yang dilaksanakan ialah Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Usahawan Baharu, TEKUN Usahawan Baharu, Program Peningkatan Francais, Program Dropship & Agent, Tunas Usahawan Belia Bumiputera, Graduate Mentoring Program, Program Usahawan Perantis, Penempatan Latihan Kerjaya dan Keusahawanan bagi Graduan TVET dan beberapa lagi program.

“Melalui program-program ini, kita telah melahirkan sebanyak 75,600 usahawan baharu setakat ini bagi tahun ini sahaja,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Roslan Hashim, pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) pada Khamis.

Ahli Parlimen tersebut bertanyakan usaha-usaha kementerian membantu usahawan yang terjejas termasuk usahawan gulung tikar.

Ewon berkata, dalam usaha membantu usahawan yang terjejas, KUSKOP melalui agensi-agensi di bawahnya telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi memulihkan semula perniagaan mereka.

Beliau berkata, antara langkah itu ialah menyediakan bantuan pinjaman kewangan seperti skim-skim pembiayaan di bawah TEKUN Nasional dan Skim Pembiayaan Ikhtiar di bawah AIM.

“Agensi-agensi pembiaya di bawah KUSKOP juga telah mempermudahkan proses permohonan dengan mengurangkan dokumentasi yang diperlukan dan memendekkan tempoh masa memproses permohonan,” katanya.

Selain itu katanya, kementerian itu juga bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pelaksanaan Program Intervensi Peluang Kedua bagi membantu usahawan yang berdepan dengan masalah pengurusan kewangan yang serius dan berisiko muflis.

“Pada tahun 2022, seramai 664 usahawan diberi kesedaran mengenai ketersediaan peluang kedua menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 40 usahawan dipilih untuk mengikuti Program Bimbingan Khas Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) selama empat bulan bermula 17 Oktober 2022 dan SME Corp. juga telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan AKPK pada 3 Februari 2023 sebagai usaha membantu perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dalam pendidikan dan pengurusan kewangan dan kredit.

“Kerjasama strategik ini dilihat dapat membantu dan memudahkan PMKS membuat keputusan dalam menguruskan kewangan secara bijak dan berhemah, terutama di dalam era pasca pandemik,” katanya.

Exit mobile version