Site icon TUHAU BAMBANGAN

JALUR LEBAR: 60 PROJEK POP FASA 1 DI SABAH BERJAYA DISIAPKAN

KOTA KINABALU: Sebanyak 60 Project Of Presence (PoP) fasa pertama di Sabah telah berjaya disiapkan bagi tujuan meningkatkan infrastrkutur jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzli berkata, pelaksanaan PoP itu adalah bagi tujuan kegunaan premis kediaman, premis kerajaan serta komuniti berhampiran.

Katanya, keseluruhan jumlah itu melibatkan sekurang-kurangnya 6,000 premis yang akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dan daripada jumlah tersebut juga, satu PoP di kawasan perindustrian telah disiapkan, iaitu KKIP Kota Kinabalu Zon Industri 7.

“Secara keseluruhannya kawasan KKIP ini akan melibatkan penyediaan PoP di empat lokasi dengan sekurang-kurangnya 400 premis, iaitu 220 bagi industri/komersial dan 180 bagi premis kediaman.

“Manakala bagi kawasan Sepanggar ini khususnya sebanyak tiga PoP telah disiapkan dengan sekuragn-kurangnya 300 premis sedia ada untuk dilanggan.

“Pelaksanaan projek PoP Fasa Dua di Sabah selanjutnya akan melibatkan 636 kawasan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Projek Point of Presence Zon Industri di Kampung Lapasan, Telipok, Kota Kinabalu pada Ahad.

Sementara itu, Fahmi berkata, sokongan infrastruktur jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi itu menyediakan kebolehcapaian pendigitalan yang cekap selain membolehkan capaian kepada maklumat yang lebih luas.

“Ini turut menggalakkan pengembangan aktiviti industri, meningkatkan pelaburan khususnya di kawasan-kawasan industri baharu, sekali gus menyumbang kepad pertumbuhan ekonomi negara,” jelasnya.

Exit mobile version