Site icon TUHAU BAMBANGAN

KERAJAAN SABAH PRIHATIN KEPERLUAN PENAMBAHAN TANAH PERKUBURAN DI KAWASAN BANDAR

SEMBULAN: Kerajaan negeri Sabah prihatin dalam memastikan keperluan penambahan tanah perkuburan untuk masyarakat Islam dan bukan Islam di kawasan sekitar bandar Kota Kinabalu sentiasa terjaga.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan menyedari wujudnya keperluan untuk mendapatkan tapak baharu tanah perkuburan berikutan tapak sedia ada semakin penuh dan sempit.

Justeru itu katannya, beliau sudah meminta pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) untuk mengenal pasti tanah kosong yang sesuai dijadikan tanah perkuburan termasuk kawasan Inanam, Menggatal dan Kepayan.

“Mana-mana tanah kosong di kawasan bandaraya mesti ada satu tanah perkuburan yang tersusun untuk masa depan dan bagi tanah perkuburan bukan sahaja kepada orang-orang Islam tetapi juga yang bukan Islam, mereka juga perlu tanah perkuburan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Pewartaan Tapak Tanah Perkuburan Islam Taman Sempelang di Sembulan pada Ahad.

Dalam majlis sama, Hajiji turut mengumumkan kelulusan kawasan tanah milik DBKK yang bersebelahan dengan Tanah Perkuburan Islam Taman Sempelang untuk dijadikan tanah perkuburan bagi menambah keluasan tanah sedia ada.

“Sebagai Ketua Menteri kerana keperluan, saya ingin maklumkan bahawa tanah lapang ini hendaklah dijadikan tanah perkuburan bagi orang-orang Islam Sembulan dan Tanjung Aru,” jelasnya.

Tambah Hajiji, segala perancangan pembangunan termasuk dari DBKK dan JTU perlu diteliti dari awal agar tidak berlaku masalah-masalah yang tidak diingini pada tempoh 50 ke 100 tahun akan datang.

Exit mobile version