Site icon TUHAU BAMBANGAN

KKD CADANG LAKSANA SIMULASI PHISHING SCAM KEPADA KOMUNITI

KOTA KINABALU: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mencadangkan satu pelaksanaan simulasi ‘Phishing Scam’ bagi tujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan siber.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, rancangan simulasi itu akan dibincangkan bersama beberapa pihak dalam Gabungan Anti-Scam untuk dilaksanakan seawal mungkin.

“Ini akan membantu untuk meningkatkan kesedaran. Isunya ialah, bila kita bercakap tentang satu bentuk scam, contoh minggu depan atau petang ini kita sebut, mungkin petang ini mereka sudah merancang taktik scam yang baru.

“Jadi ini antara kekangan kerana mereka terlalu kreatif, penjenayah-penjenayah yang sangat kreatif. Jadi kita sedang teliti beberapa aspek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perasmian Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Sabtu.

Dalam masa sama, Fahmi turut berharap agar Gabungan Anti-Scam serta beberapa rakan kongsi lain akan membawa inisiatif ini ke peringkat akar umbi.

“Untuk kita mengharapkan kepada satu pihak itu tidak memadai. Tapi bila kita bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dengan Ahli-Ahli Parlimen, dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ketua-Ketua Adat dan ramai lagi, ini akan menjayakan usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai scam,” jelasnya.

Terdahulu Fahmi dalam ucapannya berkata, Pusat Tindakbalas Insiden Siber Cyber999 negara merekodkan penipuan dalam talian sebagai insiden keselamatan siber yang tertinggi dilaporkan.

Daripada 4,381 rekod insiden yang diterima sejak Januari hingga September tahun ini, Fahmi berkata, sebanyak 2,788 insiden atau 64 peratus adalah berkaitan insiden penipuan dalam talian.

Exit mobile version