Site icon TUHAU BAMBANGAN

BOMBA HANTAR BAKUL MAKANAN KEPADA 500 PENDUDUK DI 8 KAMPUNG TERPUTUS HUBUNGAN AKIBAT TANAH RUNTUH

Gambar: Bomba

PENSIANGAN: Pasukan Bomba telah menghantar sebuah Helikopter bagi tujuan bantuan menghantar bakul makanan kepada lebih kurang 500 penduduk di lapan buah kampung yang telah terputus hubungan akibat dari tanah runtuh yang telah berlaku sejak 5 September lalu.

Akibat daripada kejadian itu, beberapa jalanraya terputus serta tidak dapat dilalui oleh kenderaan darat dan berbahaya jika menggunakan kenderaan air.

(Tengah) Abdul Razak Muda, Pengarah JBPM Negeri Sabah

Menurut kenyataan media dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Sabah hari ini berkata, lapan buah kampung yang terlibat itu adalah, Kampung Kabu, Kampung Saliliran, Kampung Siatu, Kampung Simohong, Kampung Karampalon, Kampung Babayasing, Kampung Dobolon dan Kampung Sibangali.

Katanya, seramai 33 orang pegawai dan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah terlibat dalam misi bantuan ini yang diketuai oleh Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Abdul Razak Muda (Pengarah JBPM Negeri Sabah).

“Misi ini merupakan program kerjasama JBPM dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Nabawan dan pihak NGO (Force of Love) bagi menyelaras bantuan secara teratur untuk penduduk mangsa bencana pedalaman setempat Nabawan.

“Misi Kemanusiaan ini telah dijalankan sebanyak 2 kali, yang mana pada misi pertama pada 12 Sept, sebanyak 2.3 tan bantuan makanan telah diagihkan kepada penduduk yang terjejas, menggunakan pengangkutan air dengan kerjasama antara pihak JBPM dan Forces of Love” katanya.

Manakala untuk misi kedua, iaitu hari ini, sebanyak 10.45 tan bantuan makanan (8 tan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 2.45 tan dari pihak NGO) sedang diagihkan oleh 2 unit helikopter dengan kerjasama (JBPD) Nabawan dan pihak NGO.

Exit mobile version