Site icon TUHAU BAMBANGAN

SESB PERLU JANA SENDIRI KEPERLUAN ‘BASELOAD’ ELEKTRIK DI SABAH

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu menjana sendiri sekurang-kurangnya 70% daripada keperluan beban asas (baseload) tenaga di Sabah sebelum membincangkan secara serius peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.

Pengerusinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, keperluan beban asas di Sabah adalah sebanyak 1,080MW tetapi kapasiti penghasilan tenaga semasa hanya mampu menghasilkan 1,200MW dengan marjin rizab yang kurang daripada 12%.

“Ini boleh membawa kepada ketidakstabilan dalam bekalan tenaga, terutamanya semasa menghadapi cabaran teknikal.

“Justeru, keutamaan kita haruslah menyelesaikan isu berkaitan gangguan bekalan kuasa. Untuk mencapai matlamat ini, SESB perlu memiliki sekurang-kurangnya 70% daripada kapasiti penjanaan kuasa beban asas (iaitu kira-kira 700MW) dan menjalankannya secara autonomi. Ini diperlukan kerana kita perlu memastikan kawalan penuh ke atas bekalan kuasa tersebut.

“Pada masa kini, SESB hanya menjana dan memiliki 20% daripada bekalan tenaga ini, manakala selebihnya dibeli daripada pengeluar kuasa bebas (IPP),” katanya.

Madius menjelaskan, beban asas ialah tahap bekalan tenaga minimum untuk memenuhi permintaan bekalan elektrik secara konsisten dalam tempoh 24 jam.

Ujar beliau, hanya apabila penjanaan beban asas stabil, barulah Sabah dapat bersedia untuk memulakan penerokaan tenaga boleh diperbaharui.

Ahli Parlimen Tuaran itu memberitahu, memandangkan 80% bekalan kuasa di Sabah dihasilkan oleh IPP menyebabkan SESB terikat dalam pelbagai isu berkaitan penjanaan kuasa di negeri ini.

“Sebagai contoh, apabila sesebuah IPP mengambil keputusan secara tiba-tiba untuk menjalankan penyelenggaraan berkala, kita menghadapi keterbatasan dalam membekalkan tenaga elektrik termasuk baseload menyebabkan catuan (load shedding) bekalan terpaksa dilaksanakan.

“Ini sekali gus menjadi faktor kepada gangguan bekalan elektrik yang sering berlaku di Sabah ini,” katanya.

Tambahnya, setelah 25 tahun penswastaan SESB daripada Lembaga Lektrik Sabah (LLS), sekarang ini adalah waktu untuk bertindak dan mengkaji dengan teliti sebab-sebab mengapa isu load shedding masih berterusan sehingga kini.

Justeru katanya, SESB berharap pihak kerajaan meletakkan keyakinan dan kepercayaan kepada SESB supaya ia boleh menjana tenaga elektrik sendiri tanpa bergantung kepada IPP.

Jelasnya, buat masa ini, pihak berkepentingan hanya melihat SESB sebagai ‘orang tengah’ dalam mengendalikan bekalan tenaga elektrik di Sabah.

“Semua pemegang taruh perlu menilai semula keadaan kewangan SESB dan penjanaan bekalan elektrik yang lebih stabil. Jangan terus beranggapan bahawa SESB hanya boleh membeli tenaga elektrik daripada IPP untuk dijual kepada pengguna.

“SESB memiliki aset dalam rangkaian penghantaran (transmission) dan pengagihan (distribution) bekalan tenaga tetapi tidak dalam penjanaan kuasa elektrik. Namun, kita sebenarnya mempunyai ramai tenaga mahir bukan sahaja berkebolehan untuk membuat kajian tetapi berupaya untuk mengoperasikan sebuah penjanaan (generation) kuasa elektrik sendiri di Sabah.

“Ini telah menjadi isu yang berlarutan selama beberapa dekad. SESB tidak diberikan peluang untuk mengendalikan projek-projek seperti Empangan Ulu Padas, Empangan Liwagu, dan loji jana kuasa arang batu di Lahad Datu walaupun SESB yang menjalankan kajian untuk projek-projek tersebut.

“Pada akhirnya, keputusan mengenai projek tersebut mengalami ketidaktentuan sama ada dibatalkan atau diberikan kepada pihak lain untuk pelaksanaan dan pengoperasian.

“Keadaan ini berbeza dengan Sarawak Energy Berhad (SEB), di mana mereka memiliki semua loji jana kuasa. Di Sarawak, tiada IPP yang terlibat,” katanya.

Madius turut memberi contoh bagaimana SESB telah melabur sebanyak RM33 juta dalam mengkaji pelaksanaan projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, yang akhirnya mereka tidak diberi peluang untuk melaksanakan projek tersebut.

Katanya, cadangan loji jana kuasa arang batu di Lahad Datu yang berpotensi menjana 300 MW tenaga elektrik juga akhirnya dibatalkan disebabkan isu kepemilikan yang dipertikaikan.

Dalam pada itu, Madius memaklumkan bahawa sesi dialog bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Sabah turut diadakan baru-baru ini bagi menyatukan semua pihak untuk memperkasa peranan SESB dalam membuat keputusan mengenai projek jana kuasa pada masa hadapan.

“Sambutan mereka sangat positif. Kesemua mereka menyokong SESB. Kita harapkan apabila SESB mencadangkan sesebuah projek jana kuasa elektrik, kita akan terima sokongan daripada semua pihak termasuk kerajaan,” katanya.

Beliau menjelaskan, SESB sedang beroperasi dengan kerugian disebabkan oleh pembelian kuasa daripada IPP pada kadar RM0.43 seunit elektrik, tetapi dijual kepada pengguna pada harga RM0.34 seunit iaitu mengikut tarif yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.

“Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM0.39 seunit elektrik.

“Apa yang jelas, SESB sedang menghadapi masalah kewangan yang serius,” tambahnya.

Sementara itu, Madius juga yang bekas Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Malaysia serta Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah menyatakan harapannya agar Petronas dan Kerajaan Sabah membuat pengagihan gas asli dengan turut memberi keutamaan kepada penjanaan elektrik.

“Jika seluruh sumber gas diperuntukkan kepada sektor perindustrian tanpa sedikit pun untuk penjanaan tenaga, bagaimanakah industri ini dapat beroperasi tanpa bekalan elektrik?

“Oleh itu, kami menyeru agar pengagihan sumber gas turut memberi keutamaan bagi tujuan jana kuasa tenaga elektrik si Sabah,” katanya.

Exit mobile version