Site icon TUHAU BAMBANGAN

PENYELIA JURURAWAT DERMA ORGAN DAN TISU, BERJAYA SELAMATKAN NYAWA 5 PESAKIT

KOTA KINABALU: Seorang Penyelia Jururawat berusia 58 tahun yang meninggal dunia akibat masalah mati otak menjadi penderma organ kelima di negeri ini seterusnya memberi kehidupan baharu kepada lima pesakit menerusi pendermaan beberapa organ dan tisunya baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Asits Sanna berkata, penderma, iaitu Allahyarham Sulimah Gilong telah berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama 34 tahun sejak 1989.

“Tempat bertugas beliau yang terakhir adalah di Wad Perubatan Am 4 dan Wad Respiratori, Hospital Queen Elizabeth.

Beliau merupakan seorang jururawat yang sangat berdedikasi dalam menjalankan tugas, disenangi oleh rakan sekerja dan prihatin terhadap keperluan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis lalu (14 Sept).

Katanya, Allahyarham telah berdaftar sebagai pengikrar penderma organ sejak tahun 2015 dan hasrat murni beliau untuk menjadi penderma organ selepas kematian telah disempurnakan setelah pihak hospital mendapat persetujuan bertulis daripada warisnya.

“Antara organ dan tisu yang yang telah didermakan termasuklah sepasang buah pinggang, hati dan sepasang kornea (mata).

“Pendermaan itu telah berjaya menyelamatkan nyawa tiga orang pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan hati sert memberi sinar penglihatan kepada dua orang pesakit yang lain.

“JKNS ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli keluarga yang telah menunaikan hasrat beliau serta anugerah kehidupan yang diberikan,” katanya.

JKNS pada masa sama, menyeru orang ramai agar menjadikan kisah ini sebagai inspirasi dan teladan.

Exit mobile version