Site icon TUHAU BAMBANGAN

SISTEM PEMANTAU AIR SPEKTRUM GAMMA DIPASANG DI 5 KAWASAN BAGI MEMANTAU

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih sebagai lokasi pertama pemasangan Sistem Pemantau Air Spektrum Gamma (GSWMS) bagi memantau tahap radioaktif air laut di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, pemilihan lokasi itu adalah berikutan kedudukannya yang strategik di Laut China Selatan selain menghadap negara China, Taiwan dan Jepun.

Katanya, pemasangan mesin yang bernilai RM600,000 itu telah mula dipasang pada Jun lalu sekali gus membolehkan peralatan itu digunakan untuk memantau situasi semasa air laut berikutan pelepasan air radioaktif terawat daripada loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik oleh Jepun, baru-baru ini.

“Hari ini kita datang ke jeti UMS bagi melihat sendiri GSWMS yang dipasang dimana ini adalah satu-satunya peralatan yang kita pasang di Malaysia dan kita berhasrat untuk memasang empat lagi alat sama di beberapa tempat termasuk Langkawi, Johor, Pahang dan Sandakan.

“Pemasangan ini akan dilaksanakan melalui Jabatan Tenaga Atom,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Stesen Pemantau Air Spektrum Gamma di Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS),hari ini.

Lih Kang pada masa sama menyeru orang ramai agar tidak bimbang dengan situasi yang berlaku kerana tahap radioaktif air laut dapat dikesan lebih cepat menerusi pemasangan mesin pemantau berkenaan.

Khamis lalu, Jepun dilaporkan mula melepaskan air radioaktif terawat daripada Loji Nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik walaupun rancangan itu mendapat bantahan dan sekatan import makanan laut oleh China, Korea Utara dan Hong Kong.

Menurut laporan Rauters, kumpulan nelayan Jepun sendiri mengakui kebimbangan terhadap tindakan pelepasan air itu yang akan mendorong kepada kemusnahan reputasi sektor makanan laut negara itu.

Bagaimanapun, disebalik bantahan itu, Jepun kekal dengan pendiriannya dan menyifatkan tindakan melepaskan air radioaktif terawat itu adalah selamat.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Julai lalu menyatakan ia mematuhi piawaian antarabangsa, selain menjelaskan kesannya terhadap manusia dan alam sekitar adalah sedikit.

Jepun berkata, kebanyakan unsur radioaktif daripada air berkenaan akan dikeluarkan, kecuali tritium, isotop hidrogen yang perlu dicairkan kerana unsur berkenaan sukar untuk ditapis.

Operator loji janakuasa Fukushima, Tepco, Selasa lalu berkata, air itu asalnya akan dilepaskan dalam kuantiti lebih kecil berserta pemeriksaan tambahan dengan fasa pertama membabitkan 7,800 meter padu, untuk kira-kira 17 hari.

Exit mobile version