Site icon TUHAU BAMBANGAN

KANAK-KANAK PEREMPUAN PUTUS KAKI DIGILIS LORI KETIKA SELAMATKAN KUCING

INDONESIA: Seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia yang berusia 12 tahun kehilangan kedua belah kakinya dalam hanya beberapa saat akibat digilis lori ketika cuba menyelamatkan seekor kucing.

Kanak-kanak yang berasal dari daerah Desa Sel Tampang, Kecamatan Bilah Hilir, Kabupaten Labuhanbatu, Sumatra Utara itu dikatakan tiba-tiba melintas jalan untuk menyelamatkan kucingnya.

Ketua Unit Trafik Polis Labuhanbatu, Muhammad Ainul Yaqin berkata kemalangan berlaku di jalan awam di daerah tersebut.

Selepas tragedi itu berlaku, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Hospital Rantauprapat untuk rawatan lanjut.

“Kucing itu berlari ke arah jalan. Pada masa yang sama, sebuah lori yang membawa bahan simen lalu di kawasan tersebut,” ujarnya.

Kanak-kanak tersebut kini sedang menjalani rawatan dan lukanya masih belum sembuh sepenuhnya.

“Kaki kanan dipotong bermula dari betis dan kaki kiri masih berbalut kerana luka masih belum sembuh.

“Kanak-kanak itu masih memerlukan penjagaan pasukan perubatan. Jadi dia masih berada di Rantauprapat bagi memudahkan perubatan memantau keadaan mangsa,” katanya.

Tambah Yaqin, pemandu lori yang melanggar mangsa dijadikan sebagai suspek kejadian.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak bersetuju untuk berdamai dan pemandu lori itu bersedia memberikan bantuan perubatan kepada mangsa.

Kisah sedih itu kemudiannya mendapat perhatian warga maya selepas ia tersebar di media sosial, yang dimuat naik oleh akaun Instagram @motionmenebarkebaikan pada Ahad lalu.

Pemilik akaun itu turut menceritakan hal sebenar kejadian.

Diceritakan semula, kanak-kanak itu mahu membantu seekor kucing yang hampir dilanggar oleh lori yang membawa simen.

“Kanak-kanak perempuan itu adalah hero kerana berniat untuk menyelamatkan kucing yang hampir digilis lori.

“Namun perkara yang tidak diingini berlaku, selepas kedua kaki mangsa digilis lori,” tulis kenyataan video tersebut.

Sumber : Kompas TV

Exit mobile version