Site icon TUHAU BAMBANGAN

LELAKI 40 TAHUN DITAHAN & DISYAKI SEMBUR CAT PADA 51 KUBUR DI BINTULU

BINTULU: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki merupakan suspek utama dalam kes menyembur cat pada 51 unit kubur di Tanah Perkuburan Islam Kemunting.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan hasil maklumat dan risikan, pasukannya bertindak menahan suspek lelaki yang berusia 40 tahun.

“Suspek akan dikenakan tahanan reman tiga hari mulai semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Pihak polis pada masa sama turut berharap agar mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu.

Isnin lalu, sekitar 7.15 pagi satu kes pencerobohan dan khianat menyembur cat merah dan biru dilaporkan berlaku di Tanah Perkuburan Islam Kemunting.

Hasil siasatan polis di tempat kejadian mendapati, terdapat 41 unit kubur telah disembur dengan cat dan 41 daripadanya dicat dengan tulisan warna biru.

Sumber: PDRM Bintulu

Exit mobile version