Site icon TUHAU BAMBANGAN

PUTATAN BAKAL MILIKI MINI STADIUM MENJELANG 2025

PUTATAN: Penantian warga daerah Putatan untuk memiliki mini stadium sendiri akan tercapai menjelang tahun 2025.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, dengan kos projek sebanyak RM7.89 juta itu, pembinaan mini stadium akan berlangsung selama 18 bulan bermula 27 Julai 2023 dan dijangka siap pada 26 Januari 2025.

Justeru itu, beliau menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam projek tersebut untuk bersikap lebih proaktif.

“Saya menyeru kepada pihak yang terlibat kontraktor, juruperunding, pegawai-pegawai kerajaan untuk bersikap proaktif dalam pelaksanaan projek ini yang mempunyai satu jangka masa agak pendek untuk disiapkan.

“Maka itu, kunci berjayanya projek ini adalah dengan pengurusan yang lebih cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Projek Cadangan Menaik taraf dan membaik pulih mini stadium Majlis Daerah Putatan di Putatan pada Rabu.

Shahelemy yang juga Menteri Kerja Raya merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, antara fasiliti yang bakal disediakan dalam mini stadium itu nanti ialah, trek larian, lampu, padang bola dan fasiliti balapan selain membesarkan astaka sedia ada.

“Apabila mini stadium ini siap bersama trek dan juga padang bola yang baru, maka masyarakat Putatan termasuklah sekolah-sekolah dan semua penggiat aktiviti-aktiviti sukan akan mendapat manfaat dengan kemudahan yang ada kelak,” jelasnya.

Exit mobile version