Site icon TUHAU BAMBANGAN

JKR SABAH SIASAT ISU LORI TANGKI AIR CAJ HARGA ‘CEKIK DARAH’

PUTATAN: Kementerian Kerja Raya (JKR) Sabah kini sedang dalam usaha menyiasat isu lori tangki air yang membekalkan air kepada individu atau peniaga yang didakwa mengenakan caj bayaran agak mencekik darah.

Menterinya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat lengkap daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berkenaan isu berkenaan untuk diambil tindakan.

Justeru itu, tegasnya lori air yang menghantar bekalan air tidak sepatutnya mengenakan caj bayaran terlalu tinggi.

“Mereka beli air di DEPOH Gaya Park untuk kegunaan mereka atau contoh kegunaan tapak pembinaan ataupun premis kerajaan. Tetapi maklum balas yang kita terima adalah, ada sebilangan daripada mereka yang mengambil kesempatan. Saya juga mendapat makluman tetapi belum dalam bentuk bertulis.

“Dikatakan ada yang mengenakan caj RM14 sehingga RM28 per meter padu, sedangkan jumlah yang mereka beli daripada DEPOH di Gaya Park adalah RM3 per meter padu,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Projek Cadangan Menaik taraf dan membaik pulih mini stadium Majlis Daerah Putatan di Putatan hari ini.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk mengurangkan penjualan oleh jabatan kepada lori tangki.

“Ini kita cuba kurangkan, sebab sebenarnya penjualan ini dibenarkan untuk tujuan kecemasan dan juga kegunaan di kawasan yang tidak ada bekalan air terawat.

“Tetapi nampaknya, kejadian ini sudah tidak terkawal maka kita akan menyiasat dan meneliti dengan lebih terperinci dan cuba menyelesaikannya.

“Bagi saya sedikit masa untuk menyiasat perkara ini agar keputusan relevan dan tindakan sewajarnya dapat diambil,” tegasnya.

Exit mobile version